Saturday, November 18, 2017

Resepi Ikan Patin Masak Tempoyak

Di dalam entri saya berkenan dengan resepi Ikan Patin Masak Tempoyak cara Pahang, di SINI, saya telah menerima banyak komen dari pembaca blog saya terutama dari Temerloh dan Kuala Lipis, berhubung dengan resepi asli yang hanya menggunakan 5 bahan asas sahaja. Dikatakan juga  keenakan gulai tempoyak sebenarnya terletak pada tempoyaknya, cukup masam tempoyak sedaplah gulainya.


Saya mula belajar makan Masak Tempoyak hanya selepas berkahwin. Hubby sangat gemarkan masakan tempoyak. Maklum orang Perak lah katakan. Arwah Bonda Mertua biasanya banyak menggunakan ikan kembung atau ikan terubuk sahaja. Jarang sekali memasak menggunakan ikan sungai. Di dalamnya, diletakkan juga timun atau taugeh yang berkepala besar tu. Kadang kadang diletakkan serai tapi tak pernah pulak melihat daun kesum atau kantan dimasukkan. 


Resepi masak tempoyak cara Perak berbeza dengan resepi Pahang. Saya yang pada mulanya tak suka lauk Masak Tempoyak pun, tapi dah lama lama jadi suka pulak. Tapi rasanya masakan tempoyak saya tak pernah dapat menandingi kesedapan masakan Arwah Bonda Mertua yang walaupun dah diikut satu persatu, masih menghasilkan rasa yang berbeza pada tekak saya ler. Hahaha memang lah, kalau orang lain yang memasak, kita akan rasa lebih sedap. 

 Masak Tempoyak Ikan Patin Resepi Asli Temerloh

Semasa di Temerloh, hubby membeli 2 ekor Ikan Patin Sangkar yang telah siap disiang dan dipotong oleh penjual semasa dibeli. Jadi kerja kita menjadi sangat mudah. Cuma perlu dicuci dan dimasak sahaja. Petua menghilangkan hanyir dan lendir ikan patin ialah dengan melumur ikan patin dengan tepung gandum. Lagi mujarab dari menggunakan air asam jawa/asam limau. Petua ni pun saya dapat dari komen pembaca juga. Memang banyak perkongsian maklumat yang diterima. Itulah sebab saya sangat suka membaca komen yang ditinggalkan. Saya pun tak pasti kenapa ramai pembaca blog saya lebih suka menjadi silent reader. Janganlah segan segan untuk meninggalkan komen ya. Apa apa pun, saya gembira kerana anda semua sudi singgah di blog saya. Berbalik kepada ikan ni, memang hajat saya untuk memasak mengikut saranan yang diberi dalam entri tersebut. 

Seperti komen yang diberi, tiada penggunaan bunga kantan di dalam resepi asli ini. Ini pun Aween bagi komen kenapa kuahnya tak merah dan pekat seperti yang dimakan di Kedai S.Z Rahmah di Temerloh tempohari di SINI. Jadi saya pun kenalah tambahkan sedikit lagi tempoyak supaya ianya lebih pekat. Warna kuah pulak agak kekuningan agaknya kerana saya tak menggunakan cili padi merah kerana memang tak ada stok. Jadi saya letakkan sebiji cili merah supaya kuahnya lebih kemerahan dan juga supaya tidak terlalu pedas kerana Nelly tak boleh makan makanan pedas. Jom layan resepi yang saya gunakan kali ini.

Masak Tempoyak Ikan Patin Resepi Asli Temerloh

Masak Tempoyak Ikan Patin Versi Asli Temerloh
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
1 ekor patin saiz sederhana
2 senduk tempoyak
4 cawan air - agak agak pekat kuah disukai
1 biji cili merah - opsyenal untuk bagi kuah merah jer
Segenggam cili padi merah - ikut pedas disukai
1 inci kunyit hidup
Secekak daun kesum
Sedikit garam

Cara cara:
Tumbuk cili merah, cili padi dan kunyit hidup. Jangan sampai terlalu hancur pulak. Kemudian masukkan tempoyak dan ditumbuk supaya bergaul rata.

Masak Tempoyak Ikan Patin Resepi Asli Temerloh

Masak Tempoyak Ikan Patin Resepi Asli Temerloh

Masukkan ikan dan kesemua bahan ke dalam periuk. Masaklah dengan api perlahan sehingga ianya merenih dan menggelegak.

Masak Tempoyak Ikan Patin Resepi Asli Temerloh

Setelah menggelegak, masukkan daun kesum. Masak dalam 2-3 minit sahaja dan bolehlah tutup api.  

Masak Tempoyak Ikan Patin Resepi Asli Temerloh

Nota:
Kalau tempoyak kurang masam, bolehlah tambah sedikit asam keping.

Basuh ikan dengan tepung gandum untuk menghilangkan bau hanyir ikan sungai.

Kalau mahukan kuah yang pekat, boleh dimasakkan kuah sehingga masak dan pekat, baru dimasukkan ikan seperti mana yang dibuat oleh kedai kedai makan di Temerloh.

No comments:

Post a Comment