Thursday, November 30, 2017

Ku Nan Mohon Maaf Kata Pelajar UiTM ‘slow learner’

MENTERI Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor memohon maaf atas kenyataan "slow learner" dibuatnya terhadap pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) sehingga mencetuskan kemarahan orang ramai termasuk alumni universiti berkenaan.

Beliau yang juga setiausaha agung Umno sekali lagi mendakwa kenyataannya itu sengaja diputarbelitkan oleh pihak tertentu untuk mengambil kesempatan melaga-lagakannya dengan UiTM.

"Saya nak minta maaflah kalau saya mengguris hati siapa-siapa yang rasa terguris  dalam apa yang saya telah sebutkan," katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan Persatuan Alumni UiTM Malaysia (PAUiTM) Mohd Zaini Hassan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Pertemuan yang turut disertai beberapa ahli alumni UiTM itu bertujuan menjelaskan keadaan sebenar.

Berikutan itu, PAUiTM hari ini menerima permohonan maaf Tengku Adnan berikutan kenyataan beliau itu.

Menurut Zaini, selepas mengadakan pertemuan bersama Setiausaha Agung Umno itu bagi mendengar penjelasan beliau, Zaini berkata, beliau bersetuju dengan Tengku Adnan bahawa kenyataan itu telah disalah erti. 

Dalam pada itu, Tengku Adnan berkata tujuannya membuat kenyataan sedemikian ketika ucapan motivasi ialah untuk mengingatkan pelajar mengenai sumbangan Umno sebagai kerajaan yang mentadbir negara selama 60 tahun.

"Itu niat saya bila saya bercakap (mengenai hal itu). Saya tidak tahu ada pula puak yang tertentu sengaja ambil kesempatan untuk melaga-lagakan saya dengan ITM/UiTM sendiri dan juga pelajar lain," katanya.

Tengku Adnan yang lebih dikenali sebagai Ku Nan berkata beliau perlu lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan pada masa akan datang kerana mengakui kadang-kala beliau bermulut celopar dan akhirnya ia disalahtafsirkan.


"Saya nak maklumkan, saya sendiri sebenarnya, keluarga saya, kita dapat manfaat daripada ITM. Dan ITM ini satu institusi yang dibangunkan oleh kerajaan kita untuk membantu Melayu.

"Jadi saya harap sudah-sudahlah tak payah kita nak bising-bising lagi kerana saya sedar dan saya tahu saya kadang-kadang mulut celopar kan? Jadi mulut celopar ni kena hati-hati lah.

"Niat saya hanya nak ingatkan kepada anak-anak saya supaya mereka disedarkan betapa pentingnya kita kena ada satu kerajaan yang stabil dan satu negara yang bersatu padu. Itu niat saya," katanya.



Media sebelum ini melaporkan Tengku Adnan mengeluarkan kenyataan itu ketika mengingatkan sumbangan Umno kepada pelajar, semasa berucap di majlis Anugerah Nadi Negara 2017.

"Anda dapat masuk universiti, kalau 'slow learner' (boleh) masuk ITM (UiTM). Kadangkala kalau tak dapat markah (secukupnya), markah akan diturunkan agar anda boleh masuk universiti.

"Adakala kalau tak boleh masuk (universiti) di Malaysia, kita hantar ke luar negara. (Bila) Balik, tunjuk pandai dan marah Umno," katanya. – 28 November, 2017.

No comments:

Post a Comment